Lelaki suka belajar secara santai: Kajian
KEMEROSOTAN prestasi akademik pelajar lelaki yang dikenal pasti
berlarutan sejak 20 tahun lalu memerlukan pendekatan khusus untuk
mengatasinya bagi mengelakkan wujud ketidakseimbangan sosioekonomi
sesebuah keluarga.
Ketua Pusat Pendidikan Kepelbagaian Pelajar, Fakulti
Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datin Dr Rohaty
Mohd Majzub, berkata masalah itu sudah menampakkan kesannya apabila
pelajar perempuan di institusi pengajian tinggi (IPT) melebihi lelaki
dengan nisbah 65:35.
Sambil menjelaskan keadaan sedemikian menyebabkan persaingan
pelajar perempuan menjadi semakin sengit berbanding lelaki, katanya,
mereka juga terpaksa meningkatkan usaha mencapai markah cemerlang
selain aktif kokurikulum untuk mendapatkan tempat di IPT.
Beliau berkata, permasalahan itu mendorong
sekumpulan penyelidik membuat kajian menyeluruh dan mencari
penyelesaian mengatasinya.
"Analisis awal mendapati sistem pendidikan berorientasikan
peperiksaan memberi kelebihan kepada pelajar perempuan berbanding
lelaki.
"Sifat pelajar perempuan lebih tekun, teliti dan sensitif
sesuai dengan proses pembelajaran yang menjurus ke arah kecemerlangan
dalam peperiksaan. Faktor ini membantu mereka terus cemerlang dalam
peperiksaan.
"Kesan sifat tidak teliti pelajar lelaki pula menyebabkan mereka
sukar mencapai keputusan cemerlang. Jika keadaan ini berlarutan, ia
bakal menimbulkan pelbagai masalah sampingan sebaik mereka meninggalkan
alam persekolahan," katanya ketika ditemui di Bangi, baru-baru ini.
Rohaty berkata, sistem pendidikan sedemikian tidak serasi
dengan sifat pelajar lelaki yang sukar memberi perhatian lebih lama
kepada pelajaran.
Pelajar lelaki, katanya, lebih selesa belajar dalam suasana santai dan meneliti sesuatu pengetahuan itu secara menyeluruh.
Beliau berkata, mereka juga tidak fokus kepada pelajaran
kerana lebih mudah dipengaruhi faktor persekitaran dan rakan sebaya
yang cenderung kepada aktiviti luar bilik darjah serta kegiatan
fizikal.
"Kajian dijalankan turut mengambil kira faktor lain, termasuk latar
belakang pelajar merangkumi faktor seperti status sosial dan ekonomi
serta tahap kematangan mereka.
"Sistem biologi kedua-dua golongan pelajar ini membuktikan
perempuan lebih matang dua tahun ke depan berbanding lelaki," katanya.
Mengenai cadangan sistem pendidikan berorientasikan
peperiksaan dihapuskan, Rohaty berkata, ia belum relevan kerana
persepsi masyarakat begitu teguh mengukur kejayaan seseorang
berdasarkan kecemerlangan akademik.
|