|
Masalah disiplin berkurangan hasil usaha bersungguh-sungguh semua pihak, ibu bapa
MASALAH
disiplin atau salah laku pelajar di seluruh negara bagi tempoh enam
bulan pertama tahun ini menurun 7,528 kes atau 11.31 peratus,
berbanding tempoh sama tahun lalu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar, berkata 66,528
kes direkodkan tahun lalu berbanding 59,000 tahun ini dengan bilangan
kes yang dirujuk sebanyak tujuh.
"Antara kes salah laku yang mencatatkan
penurunan adalah kekemasan diri iaitu 3,287 (20.41 peratus) selain
kenakalan 3,206 (32.8 peratus) dan ponteng sekolah 1,044 kes atau 9.08
peratus," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk
Menangani Disiplin Murid 2007 di Bangi, baru-baru ini.
Beliau berkata, sebanyak 16,098 kes kekemasan diri direkodkan
tahun lalu berbanding 12,811 tahun ini manakala 9,752 bagi salah laku
kenakalan berbanding 6,546 (2007) dan ponteng sekolah daripada 11,495
kepada 10,451 kes.
Turut mencatatkan penurunan adalah kes laku musnah iaitu
daripada 2,229 kepada 1,759 atau 470 kes (21.08 peratus) manakala
kurang sopan daripada 16,476 kepada 16,140 atau 264 kes (11.84
peratus). "Salah laku berunsur kelucahan pula menurun daripada 1,758 kes
kepada 1,675 atau 83 (4.72 peratus) manakala satu-satunya kes yang
mencatatkan peningkatan adalah salah laku berunsur jenayah daripada
8,720 kepada 9,618 atau 898 kes (10.29 peratus)," katanya.
Noh berkata, kejayaan menurunkan kadar salah laku adalah
hasil usaha bersungguh-sungguh kementeriannya, selain sokongan semua
pihak, termasuk ibu bapa.
Dalam usaha meningkatkan lagi pencapaian itu, Kementerian
Pelajaran akan mengadakan satu seminar khas bagi mengkaji semula
peraturan pelajar di Kajang pada 18 hingga 20 November ini.
Katanya, peraturan itu tidak pernah diubah sejak sekian lama
dan diharap melalui seminar berkenaan akan dapat merumuskan satu
pendekatan lebih baik dan berkesan.
"Seminar ini bakal disertai pelbagai wakil badan bukan kerajaan (NGO)
termasuk mewakili persatuan ibu bapa dan guru selain pegawai kanan
kerajaan, badan agama dan polis," katanya.
Sementara itu, Noh turut mengingatkan ibu bapa supaya
bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani masalah kanak-kanak
terbabit bermain mercun dan bunga api yang diharamkan bagi mengelakkan
kejadian tidak diingini sepanjang musim perayaan.
"Kita juga meminta ibu bapa supaya membantu kerajaan dalam
mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya sepanjang musim perayaan
dengan memberi tumpuan kepada pergerakan anak-anak," katanya.
Beliau juga turut mengulangi ingatan kepada semua pengurusan
sekolah menengah supaya menyusun program bersesuaian bagi pelajar
Tingkatan Tiga yang baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian
Menengah Rendah (PMR) bagi mengelak kes ponteng.
|