|
Web Counter |
|
Anda Adalah Pengunjung ke-
|
|
|
|
|
|
Memartabatkan Pendidikan Islam |
|
|
|
|
Written by Administrator
|
|
Sunday, 16 September 2007 |
Mengantarabangsakan Pendidikan Islam
BOLEHKAH Datuk Seri jelaskan peranan Pendidikan Islam dalam membina
negara bangsa, selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(PIPP)?
Seperti yang dihasratkan Wawasan 2020, kita mahu melahirkan
masyarakat Bangsa Malaysia yang maju mengikut acuan sendiri. Dalam
teras pertama PIPP, memupuk kefahaman yang jelas terhadap pendekatan
Islam Hadhari serta membimbing pendekatannya di dalam membentuk
pemikiran dan kehidupan masyarakat Bangsa Malaysia yang ingin
dilahirkan adalah salah satu daripada empat fokus utama teras ini.
Melalui pendekatan Islam Hadhari menerusi Pendidikan Islam, kita ingin
membuktikan bahawa sistem pendidikan kita mampu melahirkan umat Islam
yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar, iaitu ajaran yang
progresif, mementingkan perpaduan dan semangat patriotisme serta
mengutamakan keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Melalui sistem pendidikan, kita mahu membuktikan umat Islam
yang dilahirkan bukan pengganas, mundur, berfikiran sempit, miskin,
sentiasa hidup bercakaran, suka berperang dan tidak dapat hidup aman
harmoni dengan orang lain yang berbeza agama atau keturunan mereka
Bagi masyarakat bukan Islam pula, pendekatan Islam Hadhari diharapkan
dapat menghilangkan prasangka mereka terhadap ajaran Islam dan umat
Islam seterusnya membuatkan mereka berasa lebih selesa dan selamat.
Kita berharap melalui kefahaman yang jelas terhadap agama
Islam, kita dapat melahirkan masyarakat Bangsa Malaysia yang menyedari
dan menghargai hakikat bahawa di dalam sebuah negara yang agama
rasminya adalah Islam dan majoriti penduduknya beragama Islam, Islam
bukan agama yang ditakuti, sebaliknya adalah agama yang progresif dan
dapat wujud dalam kemodenan.
Melalui kefahaman yang jelas ini juga, kita ingin
menghilangkan segala perasaan syak wasangka dan menunjukkan kepada
semua pihak bahawa Islam menolak sikap melampau, kemunduran dan
kekacauan, sebaliknya menggalakkan umatnya bersungguh-sungguh berusaha
mencapai kemajuan, keamanan dan kesejahteraan. Sistem nilai sering
mendasari sesuatu sistem pendidikan termasuk di negara ini. Dalam
konteks pendidikan yang lebih luas, bolehkah Datuk Seri jelaskan sejauh
mana keperluan manusia kepada nilai dan nilai apakah yang ingin digarap
oleh Pendidikan Islam dalam usaha membangunkan modal insan?
Kita semua bernasib baik kerana masyarakat dan sistem pendidikan kita
masih kuat berpegang kepada nilai ketimuran dan ajaran Islam. Dalam
masyarakat kita nilai seperti budi bahasa, menghormati orang tua dan
toleransi masih kuat. Sedangkan di Barat atau di negara lain, nilai
seperti ini sudah semakin dilupakan.
Bagaimanapun di negara Barat ketika ini, sudah timbul
perbahasan dan kecenderungan untuk kembali berpegang kepada nilai ini.
Hari ini mereka sudah mula membangkitkan keperluan untuk mendidik
anak-anak dengan nilai seperti adab sopan, saling hormat menghormati,
menghargai ikatan dan ikatan perkahwinan, sikap bertoleransi, hidup
bermasyarakat dan banyak lagi.
Dalam sistem pendidikan kita, nilai dipupuk bukan saja
melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Islam, Moral dan Sivik dan
Kewarganegaraan, tetapi turut didedahkan secara merentasi kurikulum
melalui mata pelajaran lain seperti Bahasa, Sejarah, Seni dan
sebagainya. Nilai amanah, misalnya, boleh diterapkan di dalam mata
pelajaran Ekonomi. Seterusnya, usaha ini diperkukuhkan lagi melalui
kegiatan kokurikulum dan amalan baik yang dibudayakan di sekolah.
Insya-Allah pada masa hadapan, melalui reformasi di dalam kaedah kita
mentafsir pelajar, didikan mengenai nilai akan menjadi semakin kukuh.
Dalam subjek Pendidikan Islam, nilai bukan saja terletak pada
matlamat tetapi juga kepada kandungan mata pelajaran itu sendiri. Dalam
Pendidikan Islam inilah kita diajar berkenaan nilai murni, nilai baik
untuk dihayati dan nilai buruk untuk dijauhi.
Falsafah Pendidikan Islam itu sendiri yang menekankan kepada
nilai iman, amal dan takwa. Dalam kurikulum Pendidikan Islam, didapati
nilai yang terpuji menjadi fokus utamanya. Contohnya sikap
kesederhanaan, amanah dan toleransi disentuh dalam bab akhlak Islam.
Sikap bersungguh-sungguh dalam bidang ekonomi ditanam dalam bab zakat
dan haji. Sikap takwa dan berhati-hati diperkenalkan dalam bab akidah.
Ini semua adalah asas kepada pembentukan modal insan yang berkualiti.
Dalam usaha memupuk nilai kepada anak-anak kita, saya amat
berharap agar guru-guru Pendidikan Islam dapat benar-benar berperanan
bukan saja sebagai penyampai ilmu, tetapi juga dapat menjadi contoh
teladan kepada pelajar dan masyarakat sekitar.
Jika semua ini dapat dilaksanakan di sekolah, saya percaya
kita akan dapat melahirkan masyarakat Bangsa Malaysia yang maju
mengikut acuan sendiri. Kemajuan negara pada tahun 2020 akan menjadi
bermakna jika anak-anak yang keluar daripada sistem pendidikan kita
beradab sopan, berbudi bahasa, berdisiplin, toleran, menghormati mereka
yang lebih tua, mempunyai integriti yang tinggi, amanah dan bencikan
rasuah.
Bolehkah Datuk Seri maklumkan secara ringkas mengenai status dan pencapaian Pendidikan Islam di negara kita pada masa kini?
Pendidikan Islam mempunyai sejarah yang panjang dan kaitan yang
sangat rapat dengan masyarakat Melayu sejak zaman kesultanan Melaka
lagi. Oleh kerana faktor sejarah dan kedudukan Islam sebagai agama
rasmi, Pendidikan Islam diberi tempat yang agak istimewa di dalam
sistem pendidikan kita seperti diperuntukkan Akta Pendidikan 1996 (Akta
550).
Dulu Pendidikan Islam diberi secara tidak formal di surau dan
madrasah. Hari ini, keadaan sudah jauh berbeza. Pendidikan Islam
mempunyai pasarannya tersendiri dan ditawarkan oleh pelbagai pihak,
termasuk kerajaan negeri dan pihak swasta. Hari ini, di bawah
kementerian, ada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan kelas
khas aliran agama. Di bawah kerajaan negeri ada Sekolah Agama Negeri
(SAN). Selain itu ada juga sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama
swasta (SAS) yang diselia individu dan pihak swasta. Bagaimanapun
semuanya menggunakan kurikulum kebangsaan dan menduduki peperiksaan
awam yang sama.
Boleh dikatakan hari ini, Pendidikan Islam di Malaysia sudah
berkembang begitu pesat dan mempunyai kurikulum, aktiviti kokurikulum
dan kaedah penilaian dan penafsiran yang begitu kemas dan kukuh. Mata
pelajaran Pendidikan Islam diberi keutamaan dan menjadi salah satu
daripada mata pelajaran teras dan diuji dalam peperiksaan awam pada
peringkat menengah.
Dari segi kegiatan kokurikulum, pelbagai aktiviti sudah kita
laksanakan di pelbagai peringkat persekolahan. Misalnya, pertandingan
syarahan, tahfiz dan majlis tadarus al-Quran yang dijalankan pada
peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. Satu lagi aktiviti
yang istimewa dan jarang dilaksanakan di negara lain adalah Kelas
Kemahiran al-Quran (KKQ). Melalui kelas seperti ini, kita dapati
kemahiran seperti Qiraat Sab’ah dan Tarannum dapat disemarakkan semula
di negara ini sejak diperkenalkan 10 tahun lalu.
Kalau kita melihat dari aspek guru pula, kedudukan guru
agama tidak dibezakan berbanding guru lain. Dulu, taraf guru agama
diletakkan satu tahap di bawah guru mata pelajaran lain, tetapi tidak
lagi hari ini.
Hari ini norma guru, peluang kenaikan pangkat dan kebajikan
guru agama adalah sama dengan guru-guru lain dan tidak dibezakan sama
sekali.
Ketika ini ada 55 SMKA di seluruh negara dan saya gembira
untuk menyatakan bahawa prestasi pelajar di SMKA juga sangat
memberangsangkan dan mampu menyaingi pelajar dari Sekolah Berasrama
Penuh (SBP). Ketika ini juga, kita giat mendaftarkan semua 383 buah SAN
dan SAR seluruh negara sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)
agar kualiti pendidikan di sekolah ini dapat dipertingkatkan. Setakat
ini sudah ada 119 buah sekolah yang dinaik taraf sebagai SABK.
Insya-Allah kita berharap lebih banyak sekolah lagi yang akan mengikut
jejak langkah sekolah ini.
Walaupun kita mempunyai sistem, struktur dan program
Pendidikan Islam yang kemas, dan teratur, tetapi dari semasa ke semasa
kita akan tetap membuat penambahbaikan bagi memastikan ia terus
menepati wawasan dan kehendak negara. Program j-QAF, misalnya, kita
wujudkan pada 2005 sebagai satu langkah mengukuhkan lagi mata pelajaran
Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan. Melalui j-QAF, kita dapati
semakin ramai pelajar yang dapat menguasai penulisan jawi, bacaan
al-Quran, asas bahasa Arab dan fardu ain sebelum menamatkan sekolah
rendah. Ini seterusnya menjadi faktor yang menarik ibu bapa pelajar
Melayu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.
Pada pandangan Datuk Seri, bolehkan KPM berperanan di peringkat antarabangsa dalam konteks Pendidikan Islam?
Hari ini Malaysia dilihat oleh masyarakat dunia sebagai sebuah
negara Islam yang berpendirian sederhana. Umat Islam di Malaysia pula
dilihat sebagai masyarakat yang toleran, dapat hidup aman dengan
masyarakat lain dan pada waktu yang sama dapat menyesuaikan diri dengan
kemajuan dan kemodenan.
Atas sebab ini, Malaysia menjadi suatu tarikan kepada
masyarakat negara lain yang ingin mengetahui bagaimana Islam diajar dan
diamalkan oleh umat Islam negara ini. Dan mereka akan melihat kepada
sekolah-sekolah kita dan sistem pendidikan kita.
Seperti yang saya sebutkan tadi, kita mempunyai kurikulum
pendidikan Islam yang kemas yang disokong kegiatan kokurikulum dan
sistem penilaian yang kukuh. Begitu juga keadaannya dengan program
latihan keguruan dan skim perkhidmatan kepada guru-guru agama kita.
Selain itu, 55 SMKA yang kita ada mampu menyediakan
pendidikan yang berkualiti, sama baik dengan SBP di dalam negara kita.
SMKA ini jauh lebih baik keadaannya berbanding banyak sekolah agama
atau madrasah di luar negara.
Ini adalah kekuatan dan juga kepakaran kita yang boleh kita
kongsikan dengan negara lain. Kerana itu tidaklah menghairankan bila
Perdana Menteri Thailand meminta bantuan kita untuk membantu menambah
baik pendidikan Islam di sekolah di wilayah selatan Thailand.
Sejak permintaan rasmi mereka kepada Perdana Menteri (Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi) pada Februari lalu, pegawai kita dan
Kementerian Pendidikan Thailand telah beberapa kali mengadakan
perbincangan dan lawatan. Hasil daripada perbincangan dan lawatan ini,
kita sudah mengadakan kerjasama untuk membantu pembangunan kurikulum
pendidikan Islam, mengadakan program pertukaran pelajar serta melatih
guru pendidikan Islam mereka.
Terbaru adalah program Jambori Pengakap yang membabitkan 500
pelajar kita di Songkhla pada 26 hingga 31 Ogos lalu dan latihan
keguruan berkaitan kemahiran ICT dan Media dalam Pendidikan Islam
membabitkan 100 guru Thailand bermula 26 Ogos hingga 7 September akan
datang. Insya-Allah, tidak lama lagi 60 pelajar akan dihantar oleh
kerajaan Thailand untuk belajar di dua sekolah agama kita yang
terpilih.
Baru-baru ini Menteri Pendidikan Pakistan juga ada menyatakan
hasrat yang sama. Jika Thailand dan Pakistan begitu berminat untuk
merujuk kepada kita dalam soal pendidikan Islam, saya yakin lebih
banyak negara lagi yang akan mengikut jejak yang sama. Segala ini akan
mengangkat nama Malaysia untuk kesekian kalinya ke atas peta pendidikan
dunia.
Apakah harapan Datuk Seri terhadap masa depan Pendidikan Islam di negara ini?
Harapan saya, seluruh sistem, struktur, pendekatan dan
kandungan Pendidikan Islam dapat diperkukuhkan lagi supaya Malaysia
dapat terus menerus menjadi rujukan kepada negara lain di dunia.
Saya yakin masih banyak ruang untuk diperbaiki. Misalnya,
dari segi peruntukan, geran per kapita dan kemudahan di semua SMKA dan
SABK di seluruh negara. Kita mahu sekolah agama kita menjadi showcase
kepada sekolah-sekolah agama di seluruh dunia.
Kita mahu pihak yang prejudis dengan Islam melihat bahawa
sekolah agama kita bukan sarang melahirkan pengganas, sebaliknya boleh
melahirkan pakar dan profesional bukan saja dalam bidang agama Islam,
tetapi juga dalam pelbagai bidang yang lain, termasuk bidang Sains dan
Teknologi serta menguasai pelbagai bahasa.
Saya juga berharap KPM dapat memperluaskan peranannya pada
peringkat antarabangsa dari segi bantuan kepakaran dan konsultasi.
Institusi di bawah KPM, seperti Institut Aminuddin Baki (IAB), Institut
Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pembangunan Pendidikan Islam (IPPI)
perlu segera meningkatkan keupayaan mereka dan mempersiapkan warga
mereka dengan kepakaran dalam pelbagai bidang sesuai dengan standard
dan keperluan antarabangsa.
Saya yakin melalui pendekatan Islam Hadhari, peranan yang
dimainkan oleh Pendidikan Islam akan menjadi semakin penting dan boleh
menjadi faktor yang dapat mendorong perpaduan, keamanan dan kemajuan di
dalam negara seterusnya ini akan membantu memulihkan imej Islam di mata
dunia.
|
|
Last Updated ( Sunday, 16 September 2007 )
|
|
|
|
|
|